Pendidikan
Sekolah Kebangsaan Tebelu
Sekolah Kebangsaan Tebelu merupakan salah sebuah sekolah yang terawal ditubuhkan di kawasan Sebuyau selepas Perang Dunia Kedua iaitu sekitar tahun 1946. Nama asal penubuhannya ialah Sekolah Melayu Kampung Tebelu. Setelah ditubuhkan semula, ditukar kepada Sekolah Rendah Kerajaan Tebelu dan terakhir kepada Sekolah Kebangsaan Tebelu sehingga sekarang. Sekolah Melayu Kampung Tebelu telah diasaskan oleh Ketua Kampung Encik Andong bin Bakar, Encik Bawi bin Hasyim dan ketua-ketua kaum lain serta sokongan sebilangan penduduk tempatan. Kewujudan sekolah ini adalah di atas kesedaran dan keazaman pengasas untuk memberi pendidikan secara formal bagi penduduk dan anak-anak kampung yang buta huruf ketika itu. Guru besar yang pertama merupakan Cikgu Wan Bujang (1946-1953) dan kini diamanahkan kepada Cikgu Haji Sahat bin Haji Suhai (2004-2016).
TABIKA KEMAS Kampung Hilir Tebelu
Terdapat tiga buah TABIKA KEMAS yang disediakan untuk mendidik anak-anak Kampung menjadi generasi yang celik minda dan sahsiah. Salah satunya ialah TABIKA KEMAS yang terletak di Kampung Hilir Tebelu.
TABIKA KEMAS Kampung Tengah Tebelu
Manakala, TABIKA KEMAS Kampung Tengah Tebelu terletak di bawah Surau Darul Nikmat Kampung Tebelu bagi memudahkan anak-anak zon tersebut menimba ilmu. Surau ini juga berhadapan dengan Pusat Internet 1 Malaysia (PI) Kampung Tebelu.
TABIKA KEMAS Kampung Hulu Tebelu
TABIKA KEMAS Kampung Hulu pula terletak di Kampung Hulu Tebelu.
SJK Chung Hua Sebuyau
Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua (Cina) pula terletak di Pekan Sebuyau. Seperti sekolah-sekolah SJKC di tempat lain, sekolah ini juga mempunyai pelajar yang bukan sahaja terdiri daripada pelajar Cina, malahan pelajar Melayu dan juga Iban dari kawasan berdekatan.
Sekolah-sekolah Rendah Lain Kawasan Sebuyau :
1. S.K. Tuanku Bagus
2. S.K. Raba
3. S.K. Klait
4. S.K. Bajong
5. S.K. Muding
6. S.K. Bulan Jeragam
7. S.K. Lunying
Sekolah Menengah Kebangsaan Sebuyau
Terdapat juga sebuah sekolah menengah bagi pelajar tahun enam sekolah-sekolah rendah berdekatan menyambung pelajaran ke tingkatan satu hingga tingkatan lima. Sekolah Menengah Kebangsaan Sebuyau ini terletak di Jalan Sawmill, Pekan Sebuyau dan perjalanan hanya mengambil masa 10 ke 15 minit dari Kampung Tebelu. Pelajarnya terdiri daripada pelajar Melayu, Cina dan Iban. Sekolah ini juga mempunyai bangunan untuk kelas pendidikan khas bagi murid bekeperluan khas sekitar kawasan ini untuk sama mendapat pendidikan seperti pelajar lain. Sekolah ini mempunyai dua sesi iaitu pagi dan petang. Terdapat juga asrama yang disediakan untuk pelajar yang jauh. Manakala, pelajar yang dekat pula bersekolah secara harian. Pengetua SMK Sebuyau sekarang (2016) ialah Encik Hasbi Bin Ancheh.